Sabtu, 28 Februari 2009

Kaedah baru kekang jenayah pelajar

KUALA LUMPUR: Kaedah terbaru termasuk mendapatkan kepakaran polis sedang diusahakan Kementerian Pelajaran bagi mengemas kini semua peraturan dan undang-undang disiplin sekolah bagi mengekang budaya jenayah di kalangan pelajar. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) turut membantu memantap dan menguat kuasa peraturan sedia ada yang dikatakan longgar. Beliau yang enggan mengulas kaedah itu berkata, usaha itu akan membantu mengurangkan kejadian kes jenayah seperti kes bunuh, gaduh dan rompak yang kebanyakannya membabitkan pelajar sekolah menengah.
“Ia antara kes yang semakin berleluasa dan kita kena cari jalan penyelesaian. “Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa disiplin tetap dan berbincang dengan negeri (JPN) bagaimana nak kemas kini peraturan sedia ada dan menguatkuasakannya. “Saya tidak mahu buat rumusan awal pada peringkat ini, biar jawatankuasa bincangkan dulu, sebab mekanisme masih dikaji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, semalam.
Ditanya mengenai tindakan diambil terhadap sekumpulan pelajar yang dikatakan membelasah seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Muhd Hadzrin Mohamad sehingga mati, Wee berkata, kes itu masih dalam siasatan polis. “Kes ini membabitkan polis, kita pun dalam keadaan tersepit sama ada hendak teruskan (tindakan terhadap pelajar),” katanya. “Kena tunggu siasatan polis dan pengadilan (mahkamah) buat keputusan, kalau kita buat keputusan, nanti kena hentam sedangkan siasatan tidak selesai,” katanya. Mengenai penangguhan bayaran yuran PIBG sehingga Jun ini, Wee berkata, persatuan itu dan sekolah perlu mengambil kesempatan pada mesyuarat PIBG untuk mencapai kata sepakat mengenai jumlah yuran yang perlu dibayar.
“Mesyuarat PIBG adalah platform terbaik untuk bincang dan mencapai persetujuan bersama, kita tidak mahu program dirancang terbengkalai akibat tiada yuran mencukupi walaupun kerajaan sudah membantu memberi peruntukan awal kepada sekolah untuk meringan beban ibu bapa,” katanya. “Ada juga sekolah langsung tidak buat kutipan yuran PIBG, mereka cari dana sendiri untuk bantu ringan ibu bapa, tetapi itu semua terpulang kepada mereka,” katanya

Wanita genius sudah menyesal

KUALA LUMPUR: “Tak mungkin saya kembali buat kerja itu,” demikian pengakuan wanita genius matematik, Sufiah Yusof, 24, kepada Pengerusi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hamidi Abdul Rahman dalam pertemuan mereka, baru-baru ini.Hamidi berkata, bekas penuntut Universiti Oxford itu benar-benar menyesal dengan tindakannya terbabit dalam kancah pelacuran.Katanya, Sufiah yang kini aktif menjalankan kerja-kerja amal dengan membantu kanak-kanak malang di London masih mengadakan pertemuan dengan pihaknya dari semasa ke semasa untuk menjalani rawatan menggunakan kaedah Islam.“Usaha merawat Sufiah menggunakan kaedah Islam secara berperingkat-peringkat bermula sekitar enam bulan lalu dan masih berterusan hingga kini.
“Alhamdulillah, usaha merawatnya menunjukkan petanda sangat positif hingga membuka mata banyak pihak, sekali gus membuktikan wanita mengalami dugaan besar sepertinya masih boleh dibantu,” katanya ketika dihubungi di England, semalam.
Kisah kehidupan malang Sufiah disiarkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu yang mendedahkan wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun Sterling (RM845) bagi satu sesi.Wanita itu bertemu wakil akhbar terbabit yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke flatnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.Apabila wartawan itu berbual dengannya, Sufiah menyatakan dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.Sufiah yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup.Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi hitam yang menimpa hidupnya sejak zaman kegemilangan ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang berprestij.

Aksi buli pelajar dalam YouTube

KUCHING - Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah di Mukah bertindak lebih berani apabila dilaporkan merakam dan memasukkan aksi buli yang mereka lakukan ke atas seorang pelajar lain ke dalam laman perkongsian video internet.
Di dalam klip video selama 3.05 minit itu, mangsa yang dikatakan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat dilihat disepak, diterajang dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang masih berpakaian seragam sekolah di dalam sebuah bilik asrama.
Walaupun mangsa kelihatan cuba merayu agar tidak diapa-apakan, tetapi dia terus dibelasah tanpa belas kasihan.
Sebuah laporan menyebut keluarga mangsa yang berasal dari Kampung Penat, Oya, telah membuat laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Dalat. - Bernama

Isnin, 23 Februari 2009

TUGASAN KERJA KURSUS PENDEK

1. Dengan menggunakan peta minda, terangkan empat teori pembelajaran yang diketengahkan oleh (Skiner, Piaget, Maslow dan Vygotsky).
2. Bincangkan bagaimana keempat-empat pendekatan teori pembelajaran tersebut dapat diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
a. 3 implikasi teori Behavioris-Skinner
b. 3 implikasi teori kognitif - Piaget
c. 3 implikasi teori Humanistik-Maslow
d. 3 implikasi teori konstruktivis - Vygotsky.

Tempoh penulisan 16.02.2009 hingga 2.3.2009.

ISU PENDIDIKAN

PENGAWAS DISERANG 10 PELAJAR
Suspek tidak puas hati kena tegur buat bising dalam kelas
KOTA BHARU: Seorang pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas dekat sini, cedera diserang 10 pelajar yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menegur seorang daripada mereka kerana bising dalam kelas selepas waktu persekolahan, petang kelmarin. Serangan terhadap pelajar Tingkatan Empat, Ahmad Shafie Ihsanul Kamil, 16, berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika dia bersama seorang rakannya berjalan pulang pada hari terakhirnya di SMK Tanjong Mas kerana diterima masuk ke Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas, mulai semalam.
“Ketika melalui belakang Masjid Taman Uda Murni, kami disekat 10 pelajar yang menaiki dua motosikal dan lima basikal. “Seorang daripada mereka yang juga pelajar sekelas menendang belakang menyebabkan saya tersungkur. “Rakan saya cuba menghalang serangan itu, tetapi dilarang kumpulan pelajar itu,” katanya di sini, semalam.
Ahmad Shafie berkata, ketika dia cuba bangun, pelajar sekelasnya menumbuk dan menendangnya sehingga terjatuh, diikuti pelajar lain menendang mukanya beberapa kali. Katanya, kumpulan itu melarikan diri meninggalkannya cedera di tangan dan lutut apabila seorang wanita datang memarahi mereka. Bapa mangsa, Ihsanul Kamil Che Haron, 56, berkata beliau menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) apabila mendapati anaknya cedera dengan seluarnya terkoyak. “Saya terkejut melihat anak bongsu daripada lima beradik itu pulang dengan seluar koyak dan pipi lebam, manakala lututnya berdarah,” katanya yang membawa Ahmad Shafie membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Ihsanul Kamil terkilan dengan kejadian yang menimpa anaknya dan meminta pengurusan sekolah menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terbabit. “Awal Januari lalu, seorang pelajar di sekolah sama turut diserang sehingga cedera dan tidak hadir ke sekolah selama seminggu, namun kejadian itu tidak dilaporkan,” katanya. Katanya, beliau dimaklumkan pengurusan SMK Tanjong Mas mengaturkan perjumpaan antara ibu bapa pelajar yang menyerang anaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah Bharu hari ini. Sementara, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata walaupun 10 pelajar didakwa memukul mangsa dalam kejadian itu, siasatan polis mengenal pasti hanya empat pelajar terbabit dalam serangan itu. Katanya, polis belum membuat sebarang tangkapan.


Guru cium, peluk pelajar
KUALA LUMPUR: Perumpamaan harapkan pagar, pagar makan padi mungkin sesuai bagi menggambarkan perbuatan seorang guru kaunseling yang didakwa mencabul pelajarnya sendiri di sebuah sekolah menengah di Cheras di sini.Guru terbabit dikatakan sering mengambil kesempatan terhadap pelajarnya itu ketika di dalam pejabat guru berkenaan menyebabkan mangsa yang berusia 15 tahun yang tidak tahan dengan perangai jijik itu membuat laporan polis. Walaupun kejadian itu berlaku November tahun lalu, pelajar perempuan itu baru menyedari yang perbuatan dilakukan bekas gurunya satu kesalahan apabila dia bercerita peristiwa hitam itu kepada rakannya yang juga seorang pengawas di sekolah itu. Rakannya itu membawanya berjumpa dengan guru disiplin dan dia yakin tindakan jahat guru berkenaan dan membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Menurut sumber, pada awal November tahun lalu pelajar itu mendakwa dipanggil oleh guru kaunseling berkenaan ke pejabatnya selepas sesi persekolahan tamat.
“Mangsa yang tidak tahu tujuan dipanggil guru berkenaan itu terkejut apabila guru terbabit mula bertanya hal peribadinya sebelum mendekatinya dan memegang tangannya.“Guru berkenaan memeluk mangsa dan mencium dengan ghairah,” katanya, semalam.Sumber itu berkata, mangsa yang ketakutan menolak lelaki itu serta merayu supaya melepaskannya.Katanya, mangsa lega apabila guru itu tidak membuat perkara lebih teruk.“Namun, pelajar perempuan itu mendakwa guru berkenaan datang ke kelasnya keesokannya dan menyuruhnya pergi bilik kaunseling sekali lagi.“Mangsa yang khuatir dengan kejadian dicium dan dipeluk lelaki itu membawa rakannya bersama ke bilik berkenaan,” katanya.Menurutnya, namun guru terbabit memarahinya kerana membawa rakan sebelum menyuruhnya kembali ke kelas dan menegaskan yang mahu berjumpanya saja.

Guru dituduh cuba ...................... pelajar

KOTA BAHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua tuduhan cubaan mencabul dan merogol seorang pelajar perempuan dan satu pertuduhan memiliki bahan lucah kira-kira dua tahun lepas. Mohd Nasir Abdul Rahman, 50, dituduh cuba mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di Bilik Unit Peperiksaan, Sekolah Menengah Rantau Panjang dekat sini pada 3.30 petang, 16 Mac 2007. Bagi pertuduhan kedua, guru itu didakwa cuba merogol pelajar perempuan yang sama di PT 1832, Kampung Gual, Rantau Panjang pada 12 tengah hari, 14 April 2007.
Dia juga didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbit dan komputer ribanya di Balai Polis Rantau Panjang pada 11.25 malam, 24 April 2007. Hakim Che Mohd Zulkifly Jusoh membenarkan Mohd Nasir diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat iaitu jaminan itu akan ditarik balik jika terdapat laporan tertuduh menganggu saksi dalam kes itu. Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes.

Selasa, 10 Februari 2009

SOALAN TUTORIAL

1.Apakah yg anda faham tentang ilmu psikologi?
2.Apakah pendekatan psikologi yg akan diambil utk menghuraikan tingkah laku oleh setiap aliran?
3.Apakah yg anda faham tentang psikologi pendidikan?Apakah kepentingan psikologi pendidikan kpd guru dan pelajar?
4. Psikologi dikatakan berkaitan dgn proses mental dan tingkah laku manusia. Apakah proses mental dan tingkah laku yg dikaji oleh ahli psikologi? Berikan contoh?
5. Patutkah psikologi pendidikan diamalkan di sekolah dan di pusat pengajian tinggi? Mengapa? Bagaimana? Berikan contoh.
6. Sebagai seorang guru, bagaimanakah anda mengatasi masalah disiplin pelajar dlm bilik darjah?
7. Bincangkan perbezaan pendapat antara aliran behaviorisme dan kognitivisme.
8. Jelaskan perbezaan antara id, ego dan superego.
9. Bagaimanakah cara anda boleh meningkatkan proses p&p di sekolah?
10.Apakah perubahan yg anda perhatikan dari segi fizikal, mental dan emosi terhadap perkembangan kanak-kanak dari kecil hingga dewasa?