Ahad, 8 Mac 2009

ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH

Isu salah laku remaja terutamanya pelajar sekolah merupakan isu semasa yang hangat diperkatakan saban hari. Isu ini menjadi bualan panas di kalangan masyarakat tanpa mengira tempat dan keadaan. Perbuatan merosakkan harta benda awam, gengsterisme, pergaulan bebas, pelacuran, perjudian, lumba haram, pengambilan dadah dan bermacam-macam lagi salah laku merebak dengan meluas seolah-olah tiada jalan penyelesaian.Sikap ini sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor iaitu faktor individu itu sendiri, faktor keluarga, masyarakat, kurangnya didikan agama dan penguatkuasaan disiplin yang rapuh. Remaja yang sering terlibat dengan gejala tidak sihat ini pada asalnya melakukan kegiatan tidak bermoral sebagai satu cara mengisi masa lapang atau sekadar untuk bersuka-suka. Perasaan tanggungjawab tidak wujud dalam diri mereka kerana mereka berpendapat kerosakan tersebut akan dibaiki kelak. Faktor kedua ialah institusi keluarga yang pincang. Ibu bapa yang sering bergaduh atau sibuk dengan urusan masing-masing boleh menyebabkan remaja menghadapi konflik jiwa akibat kekurangan perhatian dan kasih sayang. Justeru, mereka mencari jalan mudah untuk melepaskan rasa tidak puas hati mereka itu.Masyarakat juga merupakan faktor pendorong kepada peningkatan gejala sosial masa kini. Pengaruh rakan sebaya, pengaruh kafe siber dan hiburan yang tidak dikawal mempercepatkan lagi penularan gejala-gejala tidak sihat ini. Masyarakat pula seolah-olah tidak mahu ambil tahu perilaku remaja-remaja ini kerana tidak mahu menjadi mangsa sikap gengster mereka. Kurangnya didikan agama dan penerapan nilai-nilai murni menyebabkan anak-anak zaman ini tidak bijak dalam membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Bagi kes-kes salah laku di sekolah pula, tiada penguatkuasaan yang keras diambil hingga menyebabkan pelajar melakukan salah laku berulang kali tanpa ada rasa bersalah.Kes-kes salah laku yang sering berlaku di kalangan pelajar sekolah adalah disebabkan tingkah laku bermasalah yang tidak dibendung sejak kecil. Tingkah laku bermasalah ini memberikan kesan kepada pelajar itu sendiri, anggota keluarga, masyarakat, institusi pendidikan dan juga negara. Tingkah laku bermasalah ini menyebabkan berlaku peningkatan masalah disiplin dan kemerosotan prestasi akademik. Prestasi sekolah juga akan turut merosot dan peningkatan masalah disiplin akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Masyarakat juga akan menerima tempias daripada tingkah laku bermasalah ini khususnya dari segi pertambahan masalah sosial seperti vandalisme dan gengsterisme. Martabat institusi pendidikan dan negara akan turut terjejas ekoran daripada membiaknya gejala sosial di kalangan pelajar.Pendidikan awal di kalangan kanak-kanak adalah cara terbaik untuk membimbing pelajar dalam membentuk akhlak dan sahsiah diri yang tinggi. Pendidikan agama yang mencukupi dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri merupakan cara yang berkesan dalam menangani masalah salah laku ini. Ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Didikan yang baik membolehkan pelajar membezakan sikap baik dan buruk serta menghindarinya. Institusi keluarga khususnya ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak, memberikan perhatian yang sewajarnya, tidak hanya mengejar kebendaan semata-mata. Tingkah laku ibubapa adalah contoh yang terbaik bagi anak-anak. Penguatkuasaan disiplin di sekolah juga merupakan salah satu cara untuk menangani masalah tingkah laku di kalangan pelajar. Kurangnya tindakan daripada pihak sekolah akan menyebabkan pelajar sentiasa ingin mengulangi tingkah laku negatif sering dilakukan. Kesimpulannya, semua pihak perlu sama-sama berganding bahu bagi membendung fenomena ini daripada berterusan sehingga menjejaskan imej negara.Pembentukan sahsiah dan keterampilan diri pelajar menuntut penglibatan guru secara aktif dan bersungguh-sungguh. Dalam konteks ini, guru berperanan sebagai pembentuk nilai yakni menerapkan nilai-nilai murni yang tinggi, nilai-nilai agama, akhlak dan keperibadian mulia. Peranan guru ialah untuk menanam kesedaran, kefahaman dan keyakinan dalam diri pelajar tentang kepentingan nilai dan moral. Guru juga berperanan sebagai pendidik khususnya dalam memperkembangkan potensi pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Guru juga mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat dan boleh menggunakan statusnya untuk menyebarkan nilai-nilai positif kepada masyarakat. Peranan guru sebagai penggerak masyarakat menjadikan guru sebagai satu-satunya golongan yang mempunyai kuasa istimewa untuk membentuk budaya, minda, nilai, sikap dan perwatakan remaja yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Peranan guru amat penting dalam masyrakat. Gurulah pendidik, gurulah pembimbing, gurulah pembentuk nilai, gurulah penggerak masyarakat, gurulah penyebar ilmu, guru juga menjadi mentor, guru adalah sumber utama dalam pembentukan masyarakat yang tinggi nilai moral dan akhlaknya. Justeru, sebagai pendidik, berjuanglah wahai guru-guru Malaysia.NOR
AZRINA BINTI AZIZ AND THE GANG
KPLI(SR) 2009PENGAJIAN PEMULIHAN KHAS

Sabtu, 7 Mac 2009

Nik Aziz saran perkemas didikan agama

Berita Harian, 7 Mac 2009
KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Kementerian Pelajaran memperkemaskan pengajian pendidikan agama di kalangan pelajar pada semua peringkat sekolah dalam mengatasi masalah keganasan di sekolah. Beliau melahirkan rasa sedih dengan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sejak kebelakangan ini di sekolah yang membabitkan pelajar sehingga ada yang mengalami kecederaan. Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya guru serta Kementerian Pelajaran memantapkan lagi pengajian agama di sekolah supaya pelajar dibekalkan ilmu agama yang tinggi, sekali gus mampu mengelak mereka terjebak dalam keganasan.
"Sekolah sekarang asyik dengan kejadian pelajar kena belasah saja. Kalau guru atau Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak memasukkan pengajian agama dalam kepala murid (tidak memantapkan pendidikan agama), ia (masalah keganasan sekolah) tidak akan selesai," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya, di sini, semalam. Dalam kejadian 16 Februari lalu, sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, di Mukah, Sarawak membelasah seorang pelajar Tingkatan Tiga sebelum rakaman kejadian itu yang dibuat menggunakan telefon berkamera disebarkan di laman web YouTube

Rabu, 4 Mac 2009

NASIB GURU

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita mengalami detik mengerikan apabila mukanya disimbah cecair kimia oleh seorang lelaki tidak dikenali di depan sebuah sekolah menengah di Bangsar di sini, petang kelmarin.Selain trauma, perbuatan gila lelaki bermotosikal itu mengakibatkan mata kanan mangsa nyaris buta apabila rosak teruk pada kornea dan kesan lecur di anggota badan. Dalam kejadian jam 4 petang, guru berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ju sedang menunggu suaminya di depan pagar sekolah berkenaan selepas sesi persekolahan. Mangsa ternampak seorang lelaki bermotosikal berusia 30-an dan memakai topi keledar penuh memasuki sekolah dalam keadaan mencurigakan.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi melihat lelaki terbabit melakukan satu pusingan di kawasan berkenaan sebelum memberhentikan motosikal di depan pagar.
“Selepas beberapa minit, dia mengeluarkan sesuatu seperti botol cecair sebelum mengisinya ke dalam satu cawan plastik,” katanya. Ju berkata, tanggapan lelaki itu sedang menunggu anak ternyata meleset apabila dia menghidupkan enjin motosikal sebelum menghampiri dan menyimbah mukanya dengan cecair terbabit.Dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan dan sempat ternampak beberapa pelajar turut terkena simbahan. Apabila Ju merasai muka serta badan amat panas, dia segera ke tandas sekolah untuk membasuhnya. Dakwa guru mata pelajaran Bahasa Inggeris itu, awalnya dia menyangka cecair cili, bagaimanapun terkejut apabila mata kanannya tidak dapat dibuka selain lecur di tubuh dan kesan terbakar pada colinya.“Suami saya yang juga anggota polis tiba setengah jam kemudian membawa saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.“Doktor yang merawat saya memaklumkan 70 peratus kornea mata saya rosak dan tidak pasti jenis cecair itu. Doktor juga meminta saya datang semula untuk rawatan susulan,” katanya yang membuat laporan di balai polis berhampiran. Menurutnya, dia yang lebih setahun mengajar di sekolah itu terkilan dengan kejadian berkenaan.Ini kerana dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa, apatah lagi memarahi atau memukul pelajarnya. “Apa yang saya tahu sebelum kejadian, sedikit perselisihan faham berlaku apabila seorang guru disiplin memarahi beberapa pelajar sekolah kerana dipercayai bergaduh dengan orang luar.“Lelaki misteri yang menyimbah cecair ke arah saya itu berkemungkinan tersilap sasaran berikutan wajah guru terbabit agak mirip dengan saya,” katanya yang enggan membuat sebarang spekulasi dan meminta polis menyiasat kes itu.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.Menurutnya, polis sedang menyiasat motif sebenar kes terbabit.

Isnin, 2 Mac 2009

KAJI BUDAYA GANAS DI SEKOLAH

KUALA LUMPUR: Masalah disiplin di sekolah perlu dikaji dengan matlamat bagi mengenal pasti kelemahan pihak yang berkaitan, di samping mencari langkah sesuai bagi menangani masalah disiplin yang dikenal pasti, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye.Beliau berkata, insiden keganasan membabitkan pelajar sekolah didedahkan media sejak kebelakangan ini amat merunsingkan kerana ia menggambarkan betapa seriusnya masalah disiplin di kalangan pelajar kini.“Bagi saya apa yang paling membimbangkan ialah budaya ganas yang saya lihat semakin menyusup masuk dalam institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.Kes terbaru yang ditampilkan media membabitkan pelajar sekolah ialah pengedaran paparan video menunjukkan pelajar tingkatan tiga dibuli 10 pelajar senior di Sekolah Menengah Oya Dalat di Mukah, Sarawak, baru-baru ini. - Bernama